Malaysia dan Ukraine komited untuk mencari kebenaran berhubung insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko membuat ikrar itu pada sidang media bersama antara kedua-dua pemimpin di sini hari ini selepas berlangsung mesyuarat dua hala antara kedua-dua mereka.

Najib berkata Malaysia dan Ukraine sedang menunggu laporan siasatan jenayah yang dijangka dikeluarkan pada akhir tahun ini.

Beliau berkata selepas laporan itu dikeluarkan, lima negara - Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine akan bertemu sekali lagi dan mencapai persetujuan mengenai tindakan seterusnya.

"(Mesyuarat) ini untuk memastikan keadilan dilaksanakan agar mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden tersebut dan pelaku yang menembak jatuh pesawat awam dihukum.

"Berhubung dengan MH17, kami komited untuk melakukan apa-apa yang mungkin terutama demi keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden yang tragik itu," kata Najib.