Malaysia mengulangi komitmennya untuk membantu Thailand mendapatkan keamanan di wilayah-wilayah di Selatan negara ini dan akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai tidak rasmi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konflik di wilayah-wilayah di selatan adalah hal ehwal dalam negara Thailand dan peranan Malaysia adalah berpandukan kepada rangka kerja yang ditetapkan Bangkok.

"Malaysia akan meneruskan peranannya sebagai fasilitator mengenai proses damai, kami ulangi komitmen kami," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha pada Jumaat.

Sidang media bersama itu diadakan selepas berakhirnya rundingan tahunan keenam di antara kedua-dua pemimpin di Rumah Kerajaan di sini.

Najib berkata adalah penting untuk melaksanakan langkah-langkah pembangunan kapasiti di selatan Thailand bagi mengukuhkan kepercayaan dalam kalangan kumpulan yang bertelagah.

Kerajaan Thailand dan kumpulan-kumpulan militan di wilayah-wilayah Selatan terlibat dalam rundingan damai tidak rasmi itu, dengan Kuala Lumpur bertindak sebagai fasilitator.

Najib berkata Jeneral Prayut juga meminta bantuan Malaysia untuk menyediakan latihan vokasional kepada penduduk di selatan Thailand.

Selain itu, kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan untuk menubuhkan pangkalan data tepat mengenai rakyat Malaysia dan Thailand yang mempunyai dua kewarganegaraan bagi memudahkan usaha mengatasi masalah itu.

Beliau berkata adalah lebih baik dan lebih tepat untuk membandingkan nama warganegara yang mempunyai dua kerakyatan berdasarkan rekod biometrik daripada membandingkan hanya nama-nama yang mungkin tidak tepat.

Mengenai usaha untuk mengekang keganasan dan ekstremisme, Najib berkata beliau dan Jeneral Prayut perlu bekerjasama lebih rapat untuk menahan pelaku kegiatan itu.

"Kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama terutamanya dalam berkongsi maklumat perisikan mengenai ancaman dan individu tertentu yang dikenal pasti oleh Malaysia atau Thailand," kata beliau.

Najib berkata Malaysia akan memberi kerjasama penuh untuk membolehkan individu berkenaan dibawa ke muka pengadilan atau diekstradisi.

Mengenai isu pemerdagangan manusia yang dihadapi Malaysia dan Thailand, Perdana Menteri berkata kedua-dua negara mengakui bahawa isu itu merupakan masalah utama susulan perkembangan yang berlaku di Wang Kelian.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu mengenal pasti tindakan positif bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.

Mengenai pembinaan tembok di sempadan bersama, Najib berkata kedua-dua pihak perlu membincangkan lebih lanjut tentang reka bentuk dan kos pembinaannya.