Golongan pengundi di negara ini idamkan calon pilihan raya yang mempunyai tahap integriti yang tinggi, serta tidak akan mudah terpengaruh dengan gejala rasuah, dedah satu kaji selidik yang dijalankan Panel Penyelidik Universiti Malaya baru-baru ini.

Ketua panelnya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, responden kaji selidik itu percaya, hanya calon yang berintegriti dan bebas rasuah sahaja dapat dijadikan sebagai pemimpin yang mampu meminimumkan soal ketirisan, terutamanya dalam agenda pembangunan negara.

“Integriti dan rasuah ini menjadi pertimbangan atau concern di kalangan informan sebab yang pertama, untuk menjadi sebuah negara yang maju, seharusnya bebas daripada rasuah, dan ada integriti tinggi.

“Dengan kepimpinan itu, maka negara akan menjadi lebih pesat, dan tidak timbul soal seperti ketirisan, dalam pembangunan, penyalahgunaan kuasa, dan ketidakcekapan kerana isu seperti rasuah ini boleh menyebabkan satu projek pembangunan negara itu gagal atau tidak dapat beri hasil maksima kepada rakyat dan negara,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Dalam kaji selidik ‘Analisis Mengikut Parlimen: Kesejahteraan Hidup & Tingkah Laku Pengundi Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14’ itu, isu integriti dan bebas rasuah menjadi pilihan utama oleh responden sepuluh daripada 12 kawasan parlimen fokus.

12 kawasan tersebut ialah Jerlun, Kuala Krai, Petra Jaya, Gelang Patah, Pasir Gudang, Semporna, Sepang, Bandar Kuching, Kuala Terengganu, Penampang, Permatang Pauh dan Bandar Tun Razak.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 yang dikeluarkan tahun lepas, kedudukan Malaysia merosot daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara.

Menurut indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) Malaysia itu, ukuran skor Malaysia juga merosot kepada 49 berbanding 50 pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, beliau percaya golongan pengundi mempunyai pandangan yang kritis serta tidak mudah terperdaya dengan persepsi negatif yang cuba ditimbulkan pihak tertentu dalam usaha mempengaruhi kecenderungan mereka memilih calon yang diketengahkan.

"Setiap persepsi yang dibawa, atau yang menjadi mainan media itu, mereka akan lihat dengan kritis, dan bukan terima bulat-bulat.

"Dan mereka faham dalam konteks realiti semasa, realiti sebenar, isu perundangan sebenar, dan mereka tahu apa langkah-langkah yang seterusnya," katanya lagi.