Syor-syor baharu dalam Kajian Persempadanan Semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dipercayai sempat diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang kata peguam Syahredzan Johan.

Beliau berkata, kini hanya proses inkuiri tempatan di Selangor sahaja yang tinggal, sebelum syor-syor itu dibawa ke Perdana Menteri, dan seterusnya dibentang dan diluluskan di Parlimen, selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

Syor itu perlu dapat sokongan majoriti mudah Parlimen, sebelum diperkenan YDP Agong dan diwartakan - Syahredzan

“Di negeri lain proses (inkuiri tempatan) ini telah pun disiapkan, tetapi untuk Selangor saya difahamkan baru saja dijalankan. Jadi pada masa kini, sepatutnya SPR akan mendengar representasi daripada mereka yang bantah.

“Dan jika kita lihat bagaimana SPR seperti begitu tergesa-gesa dalam erti kata mempercepatkan proses ini dengan adakan siasatan tempatan untuk Selangor, saya percaya SPR akan siapkan ini sebelum PRU akan datang,” katanya kepada Astro Awani hari ini.

Katanya lagi, sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum sempat syor-syor ini dibawa, maka ia tidak akan terpakai kerana proses pewartaan perlu mendapat sokongan majoriti mudah Parlimen, dan diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong terlebih dahulu.

“Sekiranya parlimen bubar, maknanya tak boleh lengkap, sebab bila Parlimen bubar, tak ada lagi sidang parlimen untuk Perdana Menteri bentangkan. Sebab itu ia perlu disiapkan (sebelum pembubaran Parlimen) sekiranya cadangan ini mahu digunakan pada PRU ke-14,” jelasnya lagi.

Ditanya mengenai impak pewartaan syor-syor baharu ini sekiranya sempat digunakan pada PRU nanti, Syahredzan berkata, banyak kajian-kajian pakar melihat kemungkinan besar ia akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Namun, katanya lagi, apa yang lebih sukar diramal ialah sentimen pengundi kerana sekiranya pengundi itu sudah menentukan parti atau calon mana mereka mahukan, persempadanan ini tidak akan memberi kesan yang besar kepada corak pengundian nanti.

Baca: Persempadanan semula: 'Jika pengundi tak faham, apa gunanya?'