“Tak ramai datang dekat saya menangis sebab tak dapat main bola, tetapi ramai datang menangis dekat saya sebab tak ada rumah,” kata Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar ketika ditemui Astro Awani baru-baru ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai bantahan wakil penduduk setempat yang mendakwa pengambilalihan padang bola sepak Jalan Jujur, di sini, tidak sepatutnya berlaku.

BACA: #MalaysiaMemilih: Kenapa kacau padang bola Bandar Tun Razak? – Penduduk

Dakwa mereka, Rizalman, yang disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional di parlimen itu seandainya MCA bersetuju menyerahkannya kepada UMNO, turut terlibat dalam proses pengambilalihan itu.

“Bukan saya benarkan, cuma saya tidak halang kerana saya bukan invidividu yang boleh luluskan (projek seumpama itu). Dari segi pembangunan di kawasan itu, projek itu mampu sediakan 800 rumah mampu milik, dan boleh beri peluang kepada 800 keluarga untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai soal nilai sentimental yang wujud di padang itu, Rizalman berkata, memang beliau sedia maklum betapa bermaknanya padang itu bagi sesetengah penduduk setempat.

Apatah lagi nama parlimen itu sendiri lahir di padang itu, apabila perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad datang untuk merasmikan penukaran nama Kampung Konggo kepada Bandar Tun Razak sekitar Februari 1984.

Namun, katanya, sebelum pengambilalihan padang itu berlaku, sebuah padang bola yang jauh lebih selesa, lengkap dengan lampu untuk kegunaan malam turut disediakan dengan jarak dari padang asal hanyalah lebih kurang 500 meter sahaja.

“Padang baru ini jauh lebih baik, dan mereka boleh bermain siang dan malam. Mereka tidak kehilangan padang untuk bermain. Sebab kalau cerita soal sentimental value, saya setuju, saya sendiri main dekat situ sejak Tingkatan 1. Tapi Stadium Merdeka pun diberi laluan,” katanya lagi.

Rizalman berkata, banyak perkara yang mempunyai nilai sentimental perlu dikorbankan untuk benda yang lebih penting, seperti pembangunan untuk kepentingan penduduk setempat misalnya.

“Kalau dapat dilaksanakan, penduduk Flat Sri Labuan, yang kini menetap di rumah seluas 450 kaki persegi, akan ditempatkan di rumah baru dengan keluasan yang lebih mampu menjamin lebih keselesaan iaitu 800 kaki persegi. Sebab itu saya sebenarnya sokong agar projek ini dilaksanakan,” katanya lagi.

Kawasan Parlimen Bandar Tun Razak mempunyai pengundi terbesar di Wilayah Persekutuan iaitu 96,000 orang terutama 52,000 pengundi Melayu.

Kawasan itu turut menempatkan 23,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpu (DBKL).