Golongan usahawan dan peniaga perlu memastikan Kerajaan sedia ada kekal untuk memastikan ekonomi negara terus dipacu dengan momentum yang positif.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menasihati golongan itu untuk tidak mengambil risiko dengan menggantikan kerajaan.

Jelas beliau, kerajaan sedia ada bukan sahaja telah diuji malah telah membuktikan pencapaiannya.

"Saya pasti, kita tidak mahu mengambil risiko terhadap masa depan kita. Salah satu perkara buat usahawan, anda tidak boleh menghalang sesuatu berlaku kepada negara ini.

"Anda tidak boleh ambil risiko dan meletakkan sebuah kerajaan atau gabungan yang tidak pernah dicuba dan diuji.

"Apa sahaja yang tidak pernah dicuba dan diuji adalah amat berisiko. Sebaliknya kami sebuah gabungan yang telah diuji dan terus diuji di mana kami telah menyampaikannya dengan baik.

"Pastinya kami akan buat lebih baik. Saya tidak katakan segalanya adalah sempurna. Kita ada cabaran-cabaran yang perlu dilalui tapi saya beri jaminan bahawa kami akan lakukan yang lebih baik," katanya di hadapan 2,500 ahli Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) sempena Malam Gala Tahun Baru Cina 2018, pada Sabtu.

Katanya, Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan 3, Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia merupakan antara projek mega yang dilihat akan memacu ekonomi negara.

PM Najib berkata gabungan parti pemerintah telah melaksanakan tanggungjawabnya dan akan meningkatkan pelaksanaan pelan transformasi negara, selain tidak akan memainkan politik populis dan tidak menjanjikan apa-apa yang tidak dapat penuhi.

Hadir sama pada majlis itu adalah Presiden ACCCIM Tan Sri Ter Leong Yap; Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar; Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.