The Malaysian Insider hari ini meminta maaf kepada calon Naib Presiden UMNO Datuk Mukhriz Mahathir, selepas beliau memberi tempoh sehingga jam 10 pagi kepada portal berita untuk berbuat demikian.

Mukhriz menuntut permohonan maaf itu selepas The Malaysian Insider menerbitkan artikel yang didakwa berbaur fitnah yang di antara lain mengatakan kempen beliau turut melibatkan politik wang.

“Kami diberitahu bahawa laporan itu tidak tepat,” kata The Malaysian Insider dalam permohonan maaf ke atas artikel yang bertajuk “Jentera kempen Mukhriz agresif, 'hujan emas' dijangka turun bermula lewat malam".

Portal itu juga berkata ia telah menarik balik artikel tersebut.

Menteri Besar Kedah itu berkata sekiranya The Malaysian Insider enggan memohon maaf, ia akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Ini satu perbuatan berniat jahat yang bertujuan mencemar reputasi saya. Saya tidak pernah mengamalkan politik wang dalam karier politik saya. Sebaliknya saya penentang keras amalan politik wang. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan The Malaysian Insider,” beliau dilaporkan berkata.