Peranan pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT) bukan sahaja diperlukan komuniti dan masyarakat Lubnan di sini malah penting dalam mewujudkan keseimbangan dalam operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata pengiktirafan itu dizahirkan sendiri Ketua Misi dan Pegawai Pemerintah Pasukan Unifil Mej Jen Michael Beary hasil pertemuan mereka di ibu pejabat Unifil pada lewat petang Jumaat.

"Beliau amat berpuas hati dengan peranan pengaman kita dan berharap kita boleh terus berada di sini. Daripada laporan yang saya terima, Malaysia memainkan penting khasnya melalui penglibatan langsung bersama-sama masyarakat dan komuniti Lubnan seperti dalam bidang perubatan, pendidikan dan kebudayaan.

"Kesemua ini diambil kira pengurusan Unifil yang pada masa sama memberi imej baik kepada mereka dalam menjayakan misi keamanan secara bersama-sama," katanya kepada wartawan Bernama dan RTM di ibu pejabat Unifil, di Nacoura, kira-kira 100 km dari Beirut dan tiga kilometer dari pagar teknikal yang memisahkan Lubnan dan Israel.

Mohd Johari berkata operasi misi keamanan memerlukan penglibatan dan hubungan erat bersama-sama komuniti dan masyarakat Lubnan dan di sinilah Unifil percaya, Kuala Lumpur mempunyai kelebihan dan pengalaman yang luas untuk menjayakan misi tersebut.

Mohd Johari berada di Beirut sejak Rabu lepas bersama 215 anggota dan pegawai kumpulan pertama Malbatt 850-4 yang diketuai Kolonel Nazim Mohd Alim untuk melihat sendiri kesiapsiagaan dan operasi dikendalikan pengaman negara.

MALBATT 850-4 dengan keseluruhan 850 pegawai dan anggota termasuk dua pegawai dan 28 anggota daripada Anggota Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat.

Penghantaran kedua dan ketiga akan dilaksanakan pada 14 Sept dan 20 Sept ini manakala kumpulan terakhir pada 26 Sept.

Mohd Johari turut melakukan kunjungan hormat ke atas Komander Sektor Barat Unifil Brig Jen Arturo Nitti di Shama Camp, United Nations Position (UNP) 2-3 di sini yang antara lain bertujuan saling bertukar pandangan dan idea bagi memantapkan kerjasama antara kedua-dua pasukan dalam misi keamanan ini.

Nitti ketika ditemui menyifatkan penglibatan pengaman Malaysia sangat penting dalam menjayakan misi termasuk bantuan kemanusiaan dan operasi pemantauan keselamatan.

"Kami mempunyai kerjasama yang sangat baik. Saya yakin kami akan dapat mencapai matlamat dengan sepenuhnya dan memenuhi tanggungjawab kami. Saya dan pasukan saya gembira untuk melibatkan diri dalam kerjasama seperti ini.

"Pembabitan tentera Malaysia menyediakan aktiviti operasi yang seimbang dan penglibatan bersama komuniti dengan lebih rapat," katanya.

Misi MALBATT antara lain adalah memantau gencatan senjata, membantu Angkatan Tentera Lubnan dalam pelaksanaan kuasa di dalam wilayahnya di samping meningkatkan hubungan dengan penduduk tempatan dan pihak berkuasa bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kebebasan bergerak dalam kawasan tanggungjawab. - BERNAMA