Malindo Air memberi amaran bahawa terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan nama syarikat penerbangan dan Pengarah Strategi Kumpulan itu, Datuk Chandran Rama Muthy, untuk mendapatkan wang dengan menjual tiket penerbangan secara tidak sah.

"Kami telah menerima aduan daripada penumpang bahawa individu berkenaan telah mengutip pembayaran dan melarikan diri.

"Malindo Air mengulangi bahawa tiada individu yang dilantik untuk menjual tiket penerbangan bagi pihak syarikat penerbangan berkenaan," menurut kenyataan di sini hari ini.

Syarikat itu menasihatkan semua penumpang supaya membeli tiket penerbangan masing-masing melalui www.malindoair.com atau lapangan terbang dan pejabat tiket bandar yang dikendalikan oleh Malindo Air atau mengunjungi ejen perjalanan yang sah.

Penumpang boleh menghubungi 03-7841 5388 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA