Syarikat penerbangan Malindo Air diberi tempoh tiga bulan untuk melakukan penambahbaikan dalam pengendalian operasi penerbangannya, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut Liow, pihak Jabatan Penerbangan Awami (DCA) telah pun mengeluarkan amaran dan syarikat penerbangan itu dan perlu akur.

“Saya difahamkan DCA telah mengeluarkan arahan dan Malindo perlu mengemaskini semua keputusan yang telah ditetapkan serta mematuhi semua peraturan yang kita tetapkan.

“Dalam masa tiga bulan Malindo kena buat semua pembaikan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Liow mengulas tentang mesej yang tersebar luas menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa DCA tidak akan menyambung Sijil Pengendali Udara (AOC) Malindo Air.

Bagaimanapun DCA dalam satu kenyataan semalam telah menafikan bahawa AOC Malindo Air akan ditamatkan pada 31 Ogos ini seperti yang didakwa.

Tambah Liow, proses audit yang dilakukan DCA terhadap Malindo merupakan prosedur biasa terhadap mana-mana syarikat penerbangan.

“Kita melaksanakan audit dari masa ke masa sekiranya ada masalah keselamatan atau tidak ikut SOP (prosedur operasi standard) dan peraturan DCA.

“Maka DCA mengeluarkan amaran dan memastikan mereka mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan dan saya yakin Malindo akan menepati keperluan DCA dalam masa terdekat,” tambahnya.