Wanita Sudan terkenal dengan perwatakan lemah lembut dan sopan tutur katanya.

Bagaimanapun, jangan terpedaya dengan kelembutan mereka kerana di sebaliknya tertanam semangat kental untuk melihat negara mereka terus makmur dan menempah nama bukan sahaja di rantau Afrika malah di seluruh dunia.

Dr Suad El-Fatih Al-Badawi, 85, adalah antara wanita berkenaan. Dikenali kerana perjuangannya membela hak-hak wanita, wartawan, anggota politik dan ahli akademik Sudan ini bertekad untuk melihat rakyat Afrika, terutamanya kaum wanita, menjalani kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada kemiskinan.

Walaupun pada usia sedemikian, Dr Suad, yang lebih gemar dipanggil "Mama Suad" masih bekerja melalui pelbagai projek untuk memperkasa wanita Afrika dan memastikan mereka dilayan dengan adil.

"Jadilah seorang wanita yang kuat. Saya suka wanita yang kuat. Sekiranya kita berganding bahu, kita akan dapat mengatasi semua halangan," kata Mama Suad dengan tegas semasa wawancara dengan sekumpulan wartawan Bernama yang melawat Sudan baru-baru ini.

IBU KEPADA AFRIKA

Usahanya yang tidak mengenal lelah untuk memperkasa golongan wanita Afrika diperakui oleh Pan African Parliament (PAP) - sebuah badan Kesatuan Afrika (AU) - apabila menganugerahkan beliau dengan gelaran "Umme Africa" (Mama Africa atau Ibu kepada Afrika).

Malah Mama Suad bukan sahaja mendapat anugerah daripada PAP. Terdahulu, pada 1970-an Arab Saudi telah meminta bantuan beliau untuk menubuhkan Girls College of Education di Riyadh.

Menurut Mama Suad, itu antara pengalaman paling membanggakan kerana berjaya mengatasi halangan budaya Arab Saudi terhadap pendidikan untuk kaum wanita pada masa itu.

"Saya sangat gembira kerana kolej itu hanya untuk wanita. Adalah sukar untuk memberi pendidikan kepada wanita di Arab Saudi pada masa itu kerana umum berpendapat bahawa wanita hanya perlu mempelajari al-Quran dan Sunnah," jelas beliau.

Mama Suad bukan sahaja terkenal kerana minatnya dalam pendidikan wanita, malah perjuangannya untuk mengurangkan kadar kematian kanak-kanak di benua Afrika juga telah menarik lebih banyak perhatian terhadap beliau.

Menurut beliau, disebabkan kurangnya rawatan perubatan di kampung-kampung dan bandar-bandar kecil, kira-kira 276 kes kematian kanak-kanak bagi setiap 10,000 kanak-kanak (276: 10,000) dilaporkan di negara-negara Afrika, menjadikannya kadar kematian tertinggi kanak-kanak di dunia.

PROJEK MELATIH BIDAN

Berikutan jumlah kematian kanak-kanak yang tinggi itu, Mama Suad memutuskan untuk bersama-sama pasukan PAP melaksanakan projek melatih penduduk desa sebagai bidan agar dapat membesarkan anak yang sihat.

Walaupun pada awalnya idea beliau menjadi bahan ketawa sesetengah pihak, beliau tetap tabah dan akhirnya berjaya merekrut serta melatih lima wanita sebagai bidan di setiap 10 negara Afrika di bawah projek berkenaan.

Mengakui program itu satu kejayaan, beliau yang juga pengasas International Muslim Women Union (IMWU), menyaksikan kadar kematian kanak-kanak di benua Afrika menurun berbanding beberapa tahun lepas.

Bagaimanapun, projek berkenaan kini ditangguhkan akibat kekangan kewangan, katanya.

"Saya mempunyai impian untuk melatih setiap bidan di setiap kampung di Afrika. Begitulah harapan kami. Buat sementara waktu, biarlah ia menjadi satu impian dahulu. Semakin kerap kita mengimpikannya, semakin banyak akan kita peroleh," katanya.

PELABURAN EMAS

Petah bercakap, beliau yang juga anggota badan perundangan dewan rendah Sudan, bukan sahaja memperjuangkan hak-hak wanita tetapi juga berminat dalam perniagaan.

Beliau menggalakkan ahli perniagaan asing untuk berdagang dan melabur di Sudan iaitu antara negara terbesar di Afrika dengan jumlah penduduk lebih 40 juta.

"Di dalam Sudan, di dalam perut bumi Sudan ada seluruh kekayaan alam. Uranium, emas, besi, kesemuanya ada di Sudan," katanya bangga.

Menurut beliau, kini terdapat sejumlah besar emas untuk dilombong, sekali gus menggalakkan para pelabur agar mengambil kesempatan untuk melabur dalam logam berharga itu.

Laporan mengatakan bahawa Sudan telah menjadi antara pengeluar emas terbesar di Afrika. Ia menghasilkan 25.6 tan emas dari Januari hingga November 2016.

Mama Suad juga kagum dengan Malaysia dan berharap Sudan dapat mencontohi kejayaan Malaysia dalam mencapai kemajuannya.

Dan resipi kunci kejayaannya? "Impian perlu tinggi, sentiasa membuat rancangan teratur sebelum memulakan sesuatu, sentiasa berpegang pada masa anda, dan sentiasa mencari alternatif untuk segala-galanya."

-- BERNAMA