Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar menunjukkan bukti laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mensabotaj industri air di negeri berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, Menteri Besar Selangor itu disifatkan tidak telus apabila mendakwa sudah membuat laporan polis pada petang Isnin.

"Baguslah dia buat laporan polis, tetapi kita hendak tahu di balai mana dia buat laporan itu. Kita hendak tahu apa yang dilaporkannya, adakah tentang air kotor sahaja? Saya cabar dia kata UMNO dan BN terlibat dalam sabotaj, ini yang dia kena buat laporan," katanya pada sidang media selepas melancarkan kediaman Unit Ceylonz Suites, di sini hari ini.

Kediaman setinggi 39 tingkat itu dibangunkan secara kerjasama antara Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad dan Exsim Group Company.

Sebelum ini, Noh mendakwa Azmin kehabisan modal apabila membuat tuduhan mengaitkan UMNO dan BN dengan masalah pencemaran loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih.

Bagaimanapun pada Isnin, Azmin mengesahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuat laporan polis berhubung insiden pencemaran berkenaan.

Pencemaran Sungai Semenyih menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup, sekali gus mengakibatkan empat daerah terjejas, iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam kenyataannya sebelum ini berkata, bekalan air di kawasan yang terjejas mula pulih secara berperingkat.

Dalam pada itu tegas Noh, isu air di Selangor akan berlarutan kerana sistem kelemahan pentadbiran kerajaan negeri itu sendiri.