Pengurusan tertinggi Felda dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi perlu memberi perhatian serta mendengar luahan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman yang kecewa apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 10 bulan masih gagal mengemukakan pelan rancangan pemulihan agensi tersebut.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua sedia maklum Mazlan sejak daripada awal merupakan individu penting yang memperjuangkan masalah berkaitan Felda.

Kata Anwar, langkah segera perlu diambil bagi memenuhi hasrat serta menyelesaikan kegelisahan para peneroka.

“Mazlan daripada awal ialah seorang jurucakap masalah Felda, sudah puluhan tahun. Beliau menjadi tunggak (dalam menyuarakan) masalah Felda dalam pembangkang dulu, sehinggalah Pakatan Harapan (mengambil alih pentadbiran).

“Jadi saya kira pengurusan Felda dan Kementerian (Hal Ehwal) Ekonomi harus mengambil kira pandangan beliau, berbincang dan mendengar keluhan supaya langkah-langkah kita ambil itu akan memenuhi hasrat, serta menjawab sebahagian kegelisahan yang dialami peneroka Felda,” ujar Anwar.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas majlis dialog bersama penoreh getah daerah Padang Terap di Pengkalan Tok Mas dekat Padang Terap pada Ahad.

Sebelum ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda melahirkan kekecewaan dan hilang sabar, kerana setelah 10 bulan kerajaan Pakatan harapan (PH) memerintah, belum ada sebarang pelan rancangan pemulihan Felda.

Dalam masa sama, mereka juga kesal apabila bayaran pinjaman sara hidup diturunkan yang disifatkan bercanggah dengan janji manifesto PH selain menggesa pengurusan tertinggi Felda menarik balik pekeliling mengenainya.