Pemimpin Asean harus memanfaatkan Sidang Kemuncak Asean 2019 di Bangkok untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu berpanjangan Selatan Thailand.

Pengasas Nation Building Institute Profesor Dr Kriengsak Chareonwongsak percaya, sekiranya isu Selatan Thailand dapat diselesaikan, ia bukan sahaja membawa kepada kedamaian, malah memakmurkan ekonomi negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

"Saya berpendapat penyelesaian isu Selatan Thai akan memanfaatkan Asean. Memandangkan semua pemimpin ASEAN akan hadir, jadi apa salahnya?"

"Kita boleh bincang bagaimana kita boleh bekerjasama dalam ASEAN untuk menjadikan wilayah Selatan Thailand selamat," katanya kepada Astro AWANI.




Pada masa sama beliau menegaskan, Malaysia perlu terus memainkan peranan dalam membantu membawa keamanan di wilayah Selatan Thai, seperti mana bantuan yang diberikan Bangkok sewaktu Malaysia berdepan ancaman komunis.

Tambahnya pihaknya sudah memberikan cadangan penubuhan 'Deep South - Deep North Global Link' yang berupaya menjadi katalis kepada kerjasama lebih erat antara wilayah-wilayah sempadan kedua negara, untuk bekerjasama.

Oleh itu beliau juga berharap cadangan berkenaan disambut baik Bangkok dan Kuala Lumpur.

Siri keganasan di Selatan Thailand tercetus sejak 1948 lagi dengan kebangkitan menentang pemerintahan Bangkok demi mengembalikan pemerintahan Melayu-Islam di Selatan Thailand.

Krisis memuncak pada antara tahun 2001 hingga 2006 sehinggalah Bangkok mengubah strategi dalam mengurangkan ketegangan.

Sejak 2004, konflik bersenjata di empat wilayah di Selatan Thailand telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa.

Parlimen Malaysia pada 2015 dimaklumkan bahawa negara ialah satu-satunya negara yang menjadi fasilitator kepada proses damai di selatan thailand.

Komitmen berkenaan diperbaharui pada 2018 apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjanjikan bantuan daripada Malaysia dalam "apa cara sekalipun" kepada Thailand untuk menamatkan isu keganasan di wilayah selatan negara itu.