Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pengalaman China dalam melaksanakan program Internet Plus, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN+China ke-11 di sini pada Jumaat, Salleh melahirkan penghargaan Malaysia kepada China atas sokongannya yang berterusan kepada usaha pembangunan ICT ASEAN.

Beliau juga menyatakan sokongan Malaysia untuk Pelan Kerja ICT ASEAN-China 2017, serta Pelan Tindakan untuk Memperkukuhkan Perkongsian China-ASEAN bagi Pembangunan Bersama dalam Bidang ICT (2017-2021).

Pelan Tindakan lima tahun itu memberi tumpuan kepada enam bidang kerjasama, termasuk pembangunan infrastruktur ICT, inovasi, keselamatan rangkaian, pembangunan sumber manusia serta dialog dan pertukaran antara kerajaan.

Salleh berkata perkara yang khusus menarik minat Malaysia ialah inisiatif Internet Plus oleh China bertujuan untuk mengintegrasikan Internet dengan industri tradisional dan pertumbuhan ekonomi bahan api.

"Kita perlu belajar daripada amalan terbaik jika kita ingin membangunkan Ekonomi Internet kita dan tempat terbaik untuk memulakan pembelajaran ialah dari rakan kongsi strategik dan Rakan Dialog ASEAN, seperti China, yang terbukti berjaya dalam program tersebut," kata beliau.

Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN-China ke-11 ialah salah satu daripada mesyuarat berkaitan yang diadakan sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (TELMIN) ke-16 yang berlangsung di Bandar Seri Begawan dari 25 hingga 26 Nov, 2016.

Selain China, TELMIN ASEAN juga akan mengadakan perbincangan dengan Jepun dan Republik Korea untuk meningkatkan kerjasama ICT dengan kedua-dua negara tersebut.

Sementara itu, Salleh mengalu-alukan projek Hab Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN yang dicadangkan untuk bermula pada 2017 kerana ia dapat membantu untuk meningkatkan keupayaan ASEAN menangani ancaman siber.

Beliau melahirkan sokongan kepada fasa satu projek itu yang dicadangkan oleh Jepun dan dibincangkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknolgi Maklumat ASEAN+Japan ke-11 di sini.

Fasa satu projek membabitkan kajian untuk mengkaji kemungkinan mewujudkan hab fizikal dalam ASEAN, latihan menangani insiden keselamatan siber dan Cabaran Teknikal Keselamatan Siber Belia ASEAN (Sukan SEA Siber).

Pada akhir mesyuarat, TELMIN ASEAN melahirkan penghargaan kepada Jepun atas sokongan berterusan kepada usaha pembangunan ICT ASEAN dan dalam pelaksanaan Pelan Induk ICT ASEAN 2020. -- BERNAMA