Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 6,110 orang daripada 1,950 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 5,245 orang daripada 1,733 keluarga pada 5 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata 10 pusat pemindahan baharu dibuka petang tadi; lima di Kota Bharu, dua di Pasir Puteh dan masing-masing satu di Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang.

Lapan jajahan terkesan banjir setakat ini.

Daripada jumlah mangsa itu, 3,063 orang daripada 1,182 keluarga ditempatkan di 18 pusat pemindahan di Pasir Mas, 1,100 orang daripada 278 keluarga di 10 pusat pemindahan di Kuala Krai.

Sebanyak 714 orang (187 keluarga) di 16 pusat pemindahan di Tanah Merah, 706 orang (171 keluarga) di sembilan pusat pemindahan di Machang, 186 orang (49 keluarga) di tiga pusat pemindahan di Pasir Puteh dan 57 orang (18 keluarga) di dua pusat pemindahan di Jeli, katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata seramai 238 orang (54 keluarga) ditempatkan di lima pusat pemindahan di Kota Bharu dan 46 orang (11 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Bachok.

Sementara itu, paras air di dua sungai utama di Kelantan masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8 malam ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Dua sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Kelantan dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah 17.96 meter (m) berbanding 17.85 m pukul 5 petang tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang 10.45m (paras bahaya 9m).

Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai meningkat sedikit pada paras 23.79m berbanding 23.76m petang tadi (paras bahaya 25m).

Paras air Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang pula susut kepada 31.99m berbanding 32.44m petang tadi (paras bahaya 35m) dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai pula surut kepada 33.73m berbanding 34.06m petang tadi (paras bahaya 38m). -- Bernama