Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 13,614 orang pada pukul 9 malam ini berbanding 13,528 pada 5 petang tadi.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 5,368 keluarga itu ditempatkan di 62 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 9,157 mangsa daripada 3,881 keluarga yang berada di 37 PPS, diikuti Tumpat dengan 3,259 mangsa daripada 1,137 keluarga di lapan PPS.


Selain itu, 814 mangsa daripada 242 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Puteh; 200 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS di Kota Bharu; 100 mangsa daripada 23 keluarga di tiga PPS di Gua Musang dan 84 mangsa daripada 24 keluarga di tiga PPS di Tanah Merah.

BACA: 1.8 juta anggota APM sedia hadapi banjir

BACA: Fenomena air termenung dijangka berterusan hingga seminggu

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang dilaporkan menurun kepada 10.24 meter pada pukul 9 malam ini berbanding 10.26 meter pada pukul 4 petang tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula menurun kepada 3.66 meter berbanding 3.67 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya 2.50 meter.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat 9 malam ini manakala hujan kadangkala berlaku di beberapa tempat.

-- BERNAMA