Jumlah mangsa banjir di daerah kecil Mambakut meningkat kepada 626 orang daripada 218 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 590 orang daripada 207 keluarga malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyalamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata peningkatan mangsa itu menyebabkan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Bangunan Kafa Mambakut.

"Seramai 463 mangsa daripada 162 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah St Patrick dan 127 orang daripada 45 keluarga kini berada di PPS Dewan Serbaguna Membakut.

"Selebihnya seramai 36 orang daripada 11 keluarga ditempatkan di Bangunan Kafa Mambakut," kata kenyataan itu.

Menurut JBPM Sabah, 26 kampung di daerah itu masih terjejas banjir manakala lapan jalan raya tidak dapat dilalui akibat ditenggelami air dan paras air Sungai Mambakut masih berada di paras bahaya iaitu 6.13m setakat 6.48 pagi tadi.

-- BERNAMA