Bilangan mangsa banjir di sekitar tiga daerah di negeri ini menunjukkan penurunan ke 872 orang setakat jam 8 malam berbanding dengan 928 pada petang Jumaat.

Jumlah tersebut melibatkan sebanyak 194 keluarga dari lapan pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir terjejas di daerah Muallim dan Manjung serta Taiping.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Manjung, Sekolah Agama Tebuk Yan yang merupakan pusat pemindahan pertama dibuka berikutan banjir pada 29 November lepas kini menempatkan seramai 168 orang terdiri daripada 40 keluarga.

"Seramai 54 orang ditempatkan di Sek Keb Dato Ishak, dan buat masa ini Sk Sungai Batu, Pantai Remis menempatkan paling ramai mangsa iaitu seramai 432 mangsa.

"111 orang ditempatkan di Sk Nakhoda Mohammad Taib,70 orang di Dewan Orang Ramai Batu 8 Segari manakala 22 lagi di SK Muhammad Saman,"katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Jumaat.

Jelasnya, dua orang mangsa turut terjejas di daerah Muallim dan dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kg Sg Muda.

Malah, seramai tiga keluarga telah ditempatkan di Kg Jawa Sg Nyior Tebing di Taiping.

Jelasnya, pusat pemindahan Batu 4 Segari telah ditutup dan mangsa juga telah dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Nakhoda Mohammad Taib buat masa ini.