Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Perak terus meningkat kepada 206 orang daripada 46 keluarga, melibatkan dua daerah di negeri ini.

Menurut portal info Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 7.40 malam, seramai 72 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan di daerah Hilir Perak.

Ia menunjukkan peningkatan mangsa di PPS berkenaan berbanding hanya 69 penduduk membabitkan 14 keluarga pada petang tadi.

"PPS SK Changkat Lobak, Jalan Selama di daerah Kerian pula masih menempatkan seramai 134 penduduk membabitkan 31 keluarga malam ini berbanding 131 mangsa daripada 30 keluarga petang tadi," menurut portal itu.

Menurut portal itu, 10 orang daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teras, Ijok dekat Batu Kurau, di daerah Larut Matang dan Selama, susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA