Jumlah mangsa banjir di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di Perak meningkatkan mendadak kepada 508 orang pada 4 petang Isnin, berbanding 374 orang pada sebelah pagi.

Peningkatan ketara berlaku di daerah Hilir Perak apabila 299 mangsa dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jangkat Jong (179), Dewan MPTI Langkap (83) dan SK Dato’ Yahya Subban (37).

Menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, bilangan mangsa di PPS SK Changkat Lobak di Kerian seramai 149 manakala di Dewan Serbaguna Kampung Haji Tahir di Batang Padang kekal 53 orang.

Katanya, PPS SK Changkat Jong yang dibuka pada Sabtu menempatkan mangsa dari Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 ½, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9.

PPS Dewan MPTI Langkap pula yang dibuka pada Ahad menempatkan mangsa dari Kampung Attaduri Lama, Kampung Chikus, Kampung Chikus Parit 3, Kilang Kacang dan Sungai Lambat manakala PPS SK Dato Yahya Subban menempatkan mangsa dari Parit 5 Pengkalan Ara.

Menurutnya, PPS Dewan Kampung Haji Tahir menempatkan mangsa dari dua kampung iaitu Kampung Pasir dan Kampung Batu Masjid.

PPS SK Changkat Lobak yang dibuka sejak Isnin lalu pula menempatkan mangsa dari Jalan FT147 Bagan Serai - Selama dan Kampung Matang Tengah.