Seramai 117 keluarga yang kehilangan rumah dalam bencana banjir pada 2014 dan masih tinggal di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di sini, bakal mendapat rumah kekal dua bulan lagi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof berkata pada masa ini, rumah-rumah berkenaan sedang dibina di Kampung Batu Papan 2 dan Kampung Tanah Puteh di sini.

"Pembinaan rumah kekal berkenaan mengambil masa kerana proses pembelian tanah dengan penduduk di kawasan tersebut sebelum ini.

"Bagaimanapun, perkara itu telah diselesaikan dan kita dalam proses membina rumah kekal," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kem PLKN terbabit pada Isnin.

Beliau turut meluangkan masa bermesra dengan tiga keluarga mangsa banjir Tiongha yang menyambut Tahun Baharu Cina di kem terbabit.

Dalam pada itu, Ab Aziz yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Gua Musang berkata 14 keluarga yang berdegil untuk tinggal dalam khemah di Bandar Utama di sini, telah dipindahkan ke kem berkenaan pada Disember lepas.

"Keluarga terbabit diarah mengosongkan tapak khemah di kawasan itu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ia bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mereka selain tapak tersebut akan dimajukan.

"Pemaju sebelum ini bersetuju membenarkan mereka tinggal di kawasan itu kerana simpati dengan mereka," katanya.