Jumlah mangsa banjir di lima daerah di negeri ini menurun kepada 941 orang berbanding 1,210 yang direkodkan pagi Ahad.

Bagaimanapun, jumlah yang dicatatkan jam 8 pagi tadi itu yang membabitkan 227 keluarga meningkat berbanding 915 orang (222 keluarga) pada malam Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, pertambahan mangsa itu melibatkan daerah Muar, Pontian dan Batu Pahat.

"Sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi setakat 8 pagi dengan Pontian kekal merekodkan mangsa paling ramai iaitu 399 orang daripada 100 keluarga, diikuti Muar dengan 227 mangsa merangkumi 72 keluarga," katanya menerusi kenyataan, di sini, pada Isnin.

BACA: Banjir di Johor: 1,210 mangsa terjejas di lima daerah

Sementara itu, Pegawai Daerah Muar, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, banyak kawasan di daerah itu mengalami hujan lebat selama kira-kira satu jam malam Ahad serentak dengan fenomena air pasang setinggi 1.7 meter hingga 2.2 meter.

Katanya, keadaan itu menjadikan kawasan rendah berisiko untuk dinaiki air.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abas pula menjelaskan, hujan renyai sehingga tiga jam selain air pasang di kawasan Peserai turut menyumbang kepada peningkatan mangsa banjir di situ.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Zulkifly Mohd Tahir, pula berkata hujan lebat selama kira-kira tiga jam awal pagi Isnin serta air pasang menyumbang kepada banjir kilat.