Jumlah mangsa banjir kilat di Alor Gajah dekat sini meningkat kepada 124 orang setakat 11.30 pagi ini berbanding 103 orang, awal pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Lt. Kol (PA) Effendy Ali berkata mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Bukit Tambun dan Balai Raya Bukit Balai.

"Di Bukit Tambun, seramai 87 mangsa merangkumi lapan keluarga manakala di Bukit Balai melibatkan 37 mangsa daripada enam keluarga," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi sehingga menyebabkan air sungai melimpah dan membanjiri dua kampung iaitu Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai tiga jam kemudian.

Katanya, setakat ini cuaca dilaporkan baik dan keadaan banjir masih terkawal.

-- BERNAMA