Tiga buah lagi pusat pemindahan sementara dibuka di Melaka menjadikan kesemuanya tujuh pusat dibuka di negeri ini dengan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 868 orang setakat 8.30 malam ini berbanding 73 orang tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata pusat pemindahan banjir baharu yang dibuka itu ialah Balai Raya Kampung Beringin dan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam di daerah Alor Gajah serta Balai Raya Kampung Tanah Merah, Krubong di daerah Melaka Tengah.

Katanya daerah Alor Gajah mencatat jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 778 orang penduduk membabitkan seramai 228 mangsa di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, 40 mangsa di Balai Raya Kampung Gadek dan 177 mangsa di SK Lesung Batu.

"Selain itu di Alor Gajah juga menempatkan seramai 102 mangsa termasuk 94 daripadanya merupakan pelajar Sekolah Tahfiz Panchor, 71 mangsa di Balai Raya Kampung Beringin dan 160 mangsa di SK Belimbing Dalam.

"Seramai 90 orang penduduk ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanah Merah, Krubong di daerah Melaka Tengah," kata Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian banjir di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan dari 1.30 pagi hingga 5.30 pagi tadi.

Menurut beliau cuaca di seluruh negeri dilaporkan baik setakat ini, namun bacaan air sungai di beberapa lokasi terbabit banjir masih di paras bahaya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata kerajaan negeri Melaka mengarahkan beberapa pintu air baraj yang menghubungkan sungai di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah ke empangan dibuka sebagai alternatif awal bagi mengatasi masalah banjir kilat yang semakin memburuk.

"Langkah ini diambil bagi membolehkan aliran air sungai terus ke empangan dan mengelak berlakunya limpahan air yang menyebabkan berlakunya banjir.

"Projek Rancangan Tebatan Banjir yang difokuskan di Jasin dan Alor Gajah akan diberi keutamaan bagi mengelakkan bencana ini terus berulang," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Balai Raya Gadek, di Alor Gajah dekat sini, malam ini.

Adly turut mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan pasca banjir kepada mangsa berjumlah kira-kira RM200 hingga RM500.

-- BERNAMA