Polis menahan seorang seorang lelaki berusia 34 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kematian rakan serumahnya di Lorong Pandan Indah 1/3, Perumahan Pandan Indah, malam tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, penangkapan dibuat selepas siasatan awal mendapati mangsa, M Suhairi A Wahab, 35, mengalami kecederaan teruk di muka dan kepala.

Katanya, mangsa ditemui dengan muka ditutup bantal, selain sebahagian badannya terbakar akibat kebakaran yang berlaku di rumah tersebut.

“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Pejabat Tanah dan Galian itu dipercayai dibunuh dan kita sudah tahan suspek yang juga rakan serumah bagi bantu siasatan.

Bedah siasat masih dijalankan untuk mengetahui punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan mangsa maut setelah biliknya terbakar.