Mangsa ditembak di Sungai Golok miliki rekod jenayah lampau

Mangsa ditembak di Sungai Golok miliki rekod jenayah lampau
Siasatan ke atas mangsa yang merupakan rakyat Malaysia akan dilakukan pihak berkuasa negara itu.
KOTA BHARU: Polis mengesahkan individu yang ditembak di sebuah bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Selatan Thailand, malam tadi dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis Kelantan Datuk Hassanuddin Hassan berkata, siasatan ke atas mangsa yang merupakan rakyat Malaysia akan dilakukan pihak berkuasa negara itu.

“Berdasarkan siasatan terdapat rekod jenayah lampau terhadap suspek melibatkan jenayah harta benda,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 8.30 malam waktu tempatan, mangsa yang maut dikenali sebagai Sulaimi Mat Ali, 54 tahun berasal dari Kota Bharu manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Muhammad Shahrul Aiman Mohd Abdul Aziz, 18 tahun.

Kedua-dua mangsa dikatakan ditembak menggunakan senjata jenis M16 oleh dua individu yang tidak dikenali semasa berada di bengkel kereta milik mereka.

Kedua dua mangsa dipercayai ditembak oleh dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Menurut laporan pihak berkuasa Thailand, mangsa yang mengalami kecederaan masih dirawat di Hospital Sungai Golok, manakala mangsa yang maut dibawa pulang ke Kota Bharu pada Rabu.

Sementara itu menurut Ketua Polis Balai Sungai Golok, Superintendan, Supakon Pungros pihaknya masih lagi menjalankan siasatan mengenai motif serangan.