Kesemua tujuh mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang cedera termasuk dua yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata semua mangsa bagaimanapun masih berada dalam keadaan trauma berikutan insiden tersebut.

Beliau berjumpa dengan semua mangsa kecuali seorang yang dimasukkan ke ICU Pediatrik.

Ada antara mereka hanya sekadar tunduk dan menjawab sepatah, manakala ada yang menangis ketika menceritakan detik pahit itu.

Rohani berkata pihaknya komited untuk membantu mangsa dan ahli keluarga dengan menawarkan bantuan kaunseling.

Katanya, ketika ini, mangsa berada dalam keadaan yang amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak.

“Saya telah arah pegawai kaunselor hadir sama, bukan saja di hospital, tetapi juga mengikuti perkembangan mangsa sehingga mereka pulang ke rumah keluarga,” katanya ketika ditemui di HKL selepas menziarahi mangsa dan ahli keluarga mereka siang tadi.

Ditanya jika kementeriannya akan mengambil tindakan terhadap pusat tahfiz itu, beliau berkata ia masih terlalu awal untuk mengulas mengenai perkara berkenaan kerana siasatan masih dijalankan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kecemasan Dan Trauma Hospital Kuala Lumpur Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil tetapi perlu dikawal dengan rapi bagi memastikan mereka tidak dijangkiti kuman.