Mangsa keempat jangkitan rabies, iaitu kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun di Kampung Ampungan, Serian, meninggal dunia hari ini.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan kanak-kanak berkenaan, Florencesia Edward, meninggal pada 2.05 petang tadi.

Menurut kenyataan itu, mangsa sebelum ini telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak pada 4 Julai lalu untuk rawatan namun dikategorikan kritikal selepas itu.

Katanya, 24 kes gigitan anjing dilaporkan berlaku hari ini menjadikan jumlah 386 kes dilaporkan sejak 1 April lalu.