Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan bahawa mangsa kelima jangkitan virus rabies dari Serian, Sarawak telah meninggal dunia pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Remun itu eninggal dunia pada pukul 10.43 malam.

Lelaki itu disahkan positif dijangkiti virus rabies pada 18 Julai lalu.

“Penyebab kematian adalah rabies with underlying pulmonary tuberculosis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata sehingga 24 Julai, terdapat lima kes dalam kalangan manusia yang dilaporkan di Serian, disahkan positif rabies di mana kesemuanya telah meninggal dunia.

Katanya, tiada kes baru dilaporkan buat masa ini.

“Sebanyak 20 kawasan dalam tiga bahagian iaitu bahagian Serian, bahagian Sri Aman dan bahagian Kuching telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

“Sehubungan itu, aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing mengikut prosedur sedia telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian yang terlibat,” katanya.

Beliau menambah bahawa sehingga 23 Julai 2017, sebanyak 770 kes gigitan haiwan (anjing dan kucing) di ketiga-tiga kawasan terbabit, telah dikesan dan diberikan rawatan lanjut.

Beliau berkata KKM menasihati orang awam yang tinggal di bahagian Serian, bahagian Sri Aman dan bahagian Kuching, Sarawak agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

i) Mencuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilang kesan air liur;

ii) Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;

iii) Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapatkan suntikan antirabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama haiwan atau anjing liar;

iv) Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat

v) Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal

vi) Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri juga akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain di negeri berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.