Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengesahkan mangsa ketujuh yang dijangkiti wabak rabies pada 26 Januari lepas, meninggal dunia pada jam 4.44 petang semalam.

Pengarahnya Dr. Jamilah Hashim berkata melalui kenyataannya, kematian lelaki yang berumur 59 tahun itu adalah disebabkan rabies encephalitis.

"Mangsa yang berasal dari Batu Kawa-Matang itu sebelum ini pernah mempunyai sejarah digigit anjing pada November tahun lalu dan telah mendapatkan rawatan di hospital pada 24 Januari tahun ini setelah mula menunjukkan gejala neurologi.

"Sehingga 4 Februari 2018, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia kekal tujuh orang di mana 6 daripadanya telah meninggal dunia dan hanya seorang sahaja mangsa terselamat iaitu seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun dari Kampung Kuala, Serian,” ujarnya dalam satu kenyataan petang tadi.

Tambahnya lagi, mangsa yang terselamat itu telah didaftar keluar dari hospital pada 31 Januari lepas dan tiada kes baharu dilaporkan setakat ini.

Semenjak 1 Julai 2017 sehingga 4 Februari 2018, sebanyak 29 lokaliti dalam 5 bahagian di Sarawak didapati positif rabies.

Bahagian-bahagian berkenaan ialah di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, dan Sarikei.