Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan hanya dua sahaja mangsa yang terbabit dalam kejadian lemas di kolam Rumah Pam Charok Kid, Belakang Balai Polis Sik, malam tadi.

Ia selepas penemuan mayat mangsa kedua, Mohamad Naim Ahmad, 28, kira-kira jam 1.45 petang tadi selepas hampir dua jam mayat pertama ditemui.

Penolong Pengarah Bahagian Kebombaan dan Penyelamat, JBPM, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, mayat mangsa ditemui di dasar sungai berkenaan.

Mohamadul Ehsan, mengesahkan hanya dua mangsa saja dilaporkan lemas berdasarkan maklumat polis dan keluarga mangsa bukan tiga seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Katanya penemuan mangsa kedua adalah selepas pihak bomba menutup pintu air menyebabkan paras kelajuan air berkurangan seterusnya berjaya menemui mayat kedua.

BACA: Mayat remaja mangsa lemas rumah pam ditemukan tertimbus dalam pasir

Dalam kejadian 10.30 malam tadi, dua lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam kolam pam air Charok Kid di Belakang Balai Polis Sik.

Mayat Mohd Faris Iqbal Hafzal Nizam, 15, ditemui pada jam 11 pagi tadi di dasar sungai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Muhammad Naim yang juga petugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dikatakan baru dua minggu bertugas menjaga pintu air berkenaan.

Mayat kedua-dua mangsa di hantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.