Mangsa letupan tong dram di Kampung Baru Tebing Lembah, Dungun meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata Muhammad Salehuddin Mohd Noor, 26 tahun, disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 pagi Isnin.

Mangsa yang melecur separuh badan itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Kebiasaannya bagi mangsa-mangsa kebakaran yang melebihi 50 peratus, agak sukar untuk diselamatkan kerana tahap lecur mangsa agak teruk, terutama pada kebakaran tahap tiga. Tahap sembuh juga amat rendah, iaitu kurang daripada 50 peratus.

"Ini kerana, ia bergantung kepada banyak faktor seperti umur, jangkitan kuman, kadar kehilangan air dan garam daripada tubuh. Sebab itu, (dalam) kes ini, kita telah berusaha menyelamatkan beliau, tetapi disebabkan tahap lecur yang agak tinggi, kita sukar melakukannya," jelas Dr Mohammad ketika ditemui.



Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa melecur teruk pada anggota badan selepas tong dram berisi alkohol meletup secara tiba-tiba kira-kira jam 11.40 pagi.

Sewaktu kejadian mangsa dipercayai sedang membuat kerja-kerja kimpalan di sebuah bengkel.

Mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.