Lebih daripada 100 mangsa pencemaran Pasir Gudang pada Mac dan Jun lalu membuat laporan polis di sini pada Ahad bagi meminta pihak berwajib menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian terbabit.

Antara mangsa yang membuat laporan itu ialah penduduk Taman Pasir Putih, Kota Masai dan Tanjung Puteri Resort.

Laporan polis dibuat menerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) Taman Pasir Putih di Balai Polis Seri Alam pada pukul 11.11 pagi.

Timbalan Pengerusi badan itu Mohd Rafee Abdullah, 46, berkata siasatan perlu dilakukan kerana terdapat kemungkinan tugas-tugas pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkenaan kurang sempurna sehingga menyebabkan pencemaran berlaku.

Beliau mendakwa pihaknya mendapati terdapat kekurangan setelah meneliti data-data tapak pelupusan sampah haram, kilang-kilang haram dan kilang-kilang yang melanggar peraturan serta laporan media baru-baru ini.


Pemandangan udara menggunakan dron di sebuah taman perumahan yang terletak terlalu berdekatan dengan kawasan perindustrian berat memproses bahan kimia di Pasir Gudang baru-baru ini. --fotoBERNAMA

"Kami meminta pihak berwajib menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada berlaku unsur rasuah atau ugutan kepada pihak penguatkuasaan atau salah laku sehingga menyebabkan insiden ini," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis yang dibuat badan berkenaan.

-- BERNAMA