Seorang lelaki yang disahkan dijangkiti rabies meninggal dunia pada jam 3.57 pagi tadi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kematian mangsa berusia 49 tahun dari Sri Aman itu berpunca daripada jangkitan Encephalitis Rabies.

“Kematian terbaharu ini menjadikan jumlah kematian akibat rabies adalah sebanyak 11 daripada 12 kes yang telah disahkan dalam kalangan manusia di Sarawak.

“Sejak diisytiharkan wabak pada 30 Jun 2017, ia merekodkan kadar kematian 91.7 peratus.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut mengesahkan terdapat seorang lagi pesakit disyaki dijangkiti rabies dan telah dimasukkan ke wad HUS pada Khamis.

“Pesakit merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun dari Jalan Matang, Kuching.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari lalu.

Ketika itu, katanya, pesakit itu mempunyai luka terbuka di tangan kanannya dan anjing tersebut kemudiannya telah mati.

“Pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isterinya ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

“Dia mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos.

“Keadaannya bertambah teruk lima hari kemudian dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, selain tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia.

Mangsa dibawa ke Unit Kecemasan dan Trauma HUS untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos dan ujian ke atas sampel klinikal telah dijalankan untuk mengesahkan punca dan penyakit yang dihidapi.

Isteri mangsa, kata Dr Noor Hisham, bagaimanapun berada dalam keadaan sihat.