Mangsa terakhir kejadian lemas di Pantai Teluk Kalong, di sini Khamis lalu akhirnya ditemui pagi ini.

Mangsa ketiga Khairil Ikmal Danial Zamzuradi ditemui anggota pasukan menyelamat dan mencari kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 2.1 kilometer daripada pos kawalan bomba berhampiran pantai.

Pengecaman dibuat oleh keluarga mangsa dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu mangsa kedua, Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, ditemukan jam 5:20 pagi tadi .

Mangsa ditemui terdampar di pesisir pantai pada jarak kira kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama ditemui pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Khamis itu, Ahmad Daniel Firdaus Zubir, penuntut MSU, bersama dua lagi rakannya, penuntut IPTS, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi dan Shahir Aqil Shahrun, yang kesemuanya berusia 19 tahun lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama empat rakan lain.

Mangsa pertama, Shahir Aqil Shahrun ditemui terdampar kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian pada jam 4.30 pagi Jumaat.

Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga membabitkan lebih lima puluh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, polis dan penduduk kampung.