Pemandu teksi diseru agar mengadaptasi perkhidmatan e-hailing dalam perkhidmatan mereka.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ia dapat mengurangkan masalah pemandu teksi yang didakwa menyalahgunakan meter perjalanan, seperti mengambil jarak lebih jauh untuk tambang lebih tinggi.

"Kerana kita ambil sikap keterbukaan, kita nak lihat menjurus kepada satu pengaplikasian atau penggunaan teknologi baharu seperti e-hailing.

"Tetapi sebelum kementerian keluarkan peraturan agar meter tidak digunakan lagi, para pemandu teksi harus mengambil langkah pertama dengan membiasakan diri dengan teknologi ini," katanya kepada sidang media di Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan aplikasi e-hailing 'cALLme', yang dibangunkan secara bersama oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), dan Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) dan Mesyuarat Agung Perwakilan PETEKMA ke-18.

Turut hadir ke majlis itu ialah Presiden PETEKMA Mohd Syahrir Abd Aziz, dan Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Dalam ucapan perasmiannya, Loke berkata pemandu teksi dan ahli politik seperti beliau mempunyai persamaan, iaitu kedua-duanya di dalam sektor yang sama iaitu sektor perkhidmatan.

Atas sebab itu, beliau berkata pemandu teksi harus menitikberatkan kepuasan penumpang supaya perkhidmatan mereka akan terus mendapat permintaan.

Di samping itu e-hailing dapat mewujudkan suasana persaingan yang lebih sihat serta tambang lebih kompetitif, ia juga dapat menjamin keselamatan pihak pemandu dan pengguna kerana ia akan direkodkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata beliau juga sedar beberapa isu yang melanda pemandu teksi seperti permintaan untuk mendapatkan permit individu yang masih belum dilayan, serta kesulitan untuk mendapatkan pinjaman bagi menukar kereta yang lebih moden.

Bagi isu permit individu, ahli parlimen Seremban itu berkata beliau akan mengadakan satu majlis pada penghujung bulan ini untuk menyerahkan permit individu kepada pemohon yang layak.

Berhubung isu pinjaman pula, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Kewangan untuk berbincang dan melihat bagaimana ia boleh dilakukan.