Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memperkenalkan model perniagaan baharu untuk Movie Animation Park Studios (MAPS) dalam usaha menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke taman tema tersebut.

Menerusi pembaharuan itu, pengunjung dibenarkan untuk masuk ke MAPS secara percuma dan hanya perlu membayar sekiranya mereka mahu bermain permainan atau menonton persembahan disediakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembaharuan itu yang dilaksanakan menerusi sistem berkupon, akan berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menurutnya, langkah itu diambil setelah mengambil kira keluhan rakyat terbanyak yang merasakan harga tiket masuk ke MAPS agak tinggi dan berada di luar kemampuan mereka.

"Kita dapati tempat yang paling dekat MAPS iaitu Bulatan Sultan Azlan Shah menjadi tarikan ribuan masyarakat pada setiap malam.

"Jadi dengan dibukanya MAPS ini secara percuma, saya percaya orang ramai akan dapat lebih banyak pilihan dan ini adalah satu perkara yang amat menarik bagi bandaraya Ipoh," katanya kepada pemberita selepas melancarkan model perniagaan baru MAPS di taman tema itu pada Selasa.

Ahmad Faizal berkata, pembaharuan itu mensasarkan kira-kira satu juta pengunjung sehingga hujung tahun ini, berbanding hanya 400,000 sepanjang tahun lalu.

Di samping itu, katanya, MAPS juga tidak lagi mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membuka tarikan baharu.

Sebaliknya, kata beliau, MAPS akan mengambil rakan-rakan kongsi untuk membuat tarikan baharu, sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung.