Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas buah mata kucing yang cuba dibawa masuk dari Thailand, di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, awal pagi ini.

Ketika menjalankan pemeriksaan, MAQIS Kedah menemui 340 kilogram buah mata kucing, dianggar bernilai RM850, yang dibawa masuk tanpa dokumen yang sah seperti permit import dari Jabatan MAQIS.

Pengarah MAQIS Negeri, Lily Rosalind berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah suatu kesalahan di bawah Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).

Pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.



Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya lagi, pihak MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara.

Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan, terutama sepanjang tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) ini.