Usaha untuk mencari keamanan di selatan Thailand berkecai berikutan keputusan panel dialog Majlis Syura Patani (Mara Patani) untuk menggantung semua dialog dengan kerajaan Thailand.

Ketua panel dialog Shukri Hari berkata, keputusan untuk menggantung rundingan sehingga selepas selesai pilihan raya umum Thailand pada Mac adalah berikutan kekecewaan kumpulan itu terhadap sikap yang ditunjukkan oleh ketua panel rundingan damai Thailand, Jen Udomchai Thammasarorat.

"Mara Patani dan pasukan dialog Thailand tiba di Kuala Lumpur pada 2 Feb, 2019 untuk mesyuarat pengenalan. Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa ketua panel Thailand, Jeneral Udomchai tidak akan menghadiri mesyuarat itu. Beliau hanya akan menemui saya secara peribadi dan berasingan.

"Kami kecewa dengan sikap Jen Udomchai yang bercanggah dengan kenyataan terdahulunya bahawa beliau akan mengadakan dialog dan menghormati semua kumpulan dan pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Menurut Shukri, Mara Patani menyifatkan keengganan Udomchai untuk bertemu panel dialog kumpulan tersebut sebagai tidak dapat diterima dan disyaki mempunyai "agenda tersembunyi".

Beliau berkata, kumpulan itu juga menggesa kerajaan Thailand untuk menggantikan Jen Udomchai dengan seseorang yang "lebih berwibawa", dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik di Pattani yang telah berlarutan.

Udomchai baru-baru ini dilantik oleh Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha untuk mengetuai rundingan damai selatan Thailand, menggantikan Jen Aksara Kerdphol yang telah lama menjadi perunding.

Mesyuarat pengenalan yang sepatutnya berlangsung hari ini, diatur oleh fasilitator baharu Malaysia ke rundingan damai iaitu bekas Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Abdul Rahim Noor yang dilantik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mara Patani juga tidak menghadiri mesyuarat pengenalan hari ini, yang jika berlangsung seperti dijadualkan akan menandakan mesyuarat rasmi pertama selepas beberapa bulan. Kumpulan ini adalah badan yang mewakili beberapa kumpulan selatan Thailand.

Sejak meletus pada 2004, konflik itu yang mencengkam empat wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla telah meragut lebih 6,500 nyawa.

-- BERNAMA