Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak pernah menaja walau satu sen pun kepada pasukan The Red Warriors .

"Logo MARA 50th dipamer di lengan jersi TRW 2016 diberi percuma kepada Mara walaupun ruangan itu bernilai RM250,000. Ia satu penghormatan kepada Mara dari TRW," katanya kepada Astro AWANI dalam satu pesanan WhatsApp di sini hari ini.

BACA; 'Tan Sri, jangan dikejutkan harimau yang sedang tidur' - TMJ

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini meminta seorang ahli politik bergelar 'Tan Sri' tampil memberi keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan Mara dan UniKL yang dipaksa untuk menaja pasukan The Red Warriors.

Dalam pada itu Annuar berkata sebagai syarikat swasta, UniKL ia mempunyai polisi sendiri terutama dalam soal penjenamaan, promosi, pemasaran dan lain-lain.

"UniKL sebuah syarikat swasta. Ia tidak pernah menaja atau memberi biasiswa kepada pelajarnya. Jadi tidak timbul isu menggunakan dana biasiswa atau tajaan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UniKL mempunyai bajet khusus untuk soal-soal ini.

"UniKL sudah lama terlibat dalam branding dan marketing melalui sukan khususnya hoki dan bola sepak. Ini kerana sasaran mereka adalah menarik perhatian anak muda.

"Begitu juga syarikat SDN BHD Mara yang lain. Mereka punyai bajet, dasar dan prosedur tersendiri. Semuanya tidak melalui paksaan, titah, sabda dan sebagainya.

"Begitu juga dana biasiswa Mara yang kononnya dikurangkan. Tidak benar dan jauh sama sekali di kurangkan kerana menaja bola," jelasnya.

Kata Annuar, beliau tidak berminat untuk terjebak dalam polemik dengan mana-mana individu secara langsung kerana mereka merupakan sahabat-sahabatnya.

“Sebagai kawan kita sudah kenal sesama kita. Kalau kawan silap kita tidak usah panjang-panjang. Kita maafkan sahaja,” katanya lagi.