Seorang remaja maut manakala adik perempuannya berusia tiga tahun cedera parah ditetak dengan parang oleh rakan sekerja bapa mereka dalam kejadian di Kampung Lubok Kiulu, semalam.

Dalam kejadian jam 2.20 petang di rumah keluarga terbabit, mangsa pertama berusia 15 tahun mati di tempat kejadian akibat parah selepas terkena tetakan suspek di leher.

Manakala adik perempuannya berusia tiga tahun itu dilaporkan kiritikal dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, suspek bertindak demikian angkara berang selepas dia mahu dibuang kerja susulan aduan daripada bapa mangsa mengenai sesuatu perkara.

Difahamkan, bapa mangsa melarikan diri apabila cuba diserang suspek sebelum lelaki itu tiba-tiba bertindak menetak mangsa dan adiknya.

"Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di tempat kerja di antara bapa mangsa dengan suspek.

"Suspek berusia 66 tahun bagaimanapun ditahan di tepi jalan kampung berkenaan, kira-kira jam 4 petang semalam,"katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Tambah Dzulbaharin, polis masih menjalankan siasata lanjut berhubung punca sebenar kejadian itu dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.