Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah adalah antara lapan individu yang akan didakwa di mahkamah, Selasa ini, berhubung perhimpunan #KitaLawan yang diadakan Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata tujuh lagi individu adalah Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja iaitu Chang Lih Kang selain bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS, Fakhrulrazi Mokhtar.

Anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh; Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Abd Talib; pegawai khas anggota Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasep dan aktivis Adam Adli.

"Mereka ini akan didakwa berhubung perhimpunan #KitaLawan dan bukanlah perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada hujung minggu lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 kecuali Fakhrulrazi yang didakwa dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Perhimpunan #Kitalawan sebelum ini, dianjur bagi menyatakan sokongan kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.