Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Maritim Lahad Datu telah berjaya menghalang cubaan keluar lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara asing bersama barang kawalan dari Daerah Lahad Datu, lewat malam semalam.

Pengarah Maritim, Pangkalan Maritim Lahad Datu Leftenan Komander Maritim, Radzil Allexender Raphael berkata, bot peronda Banggi 35 milik Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan di sekitar perairan Felda Sahabat telah menerima maklumat daripada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD SRI PERLIS mengenai kehadiran bot yang mencurigakan itu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, bot Banggi 35 telah berjaya mengesan dan memintas sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Kampung Tanduo, di sini menuju ke sempadan perairan Filipina.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan terdapat lapan penumpang disyaki warganegara Filipina yang terdiri daripada enam lelaki dewasa dan dua wanita berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 60 tahun.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat barangan kawalan yang cuba diseludup keluar iaitu minyak petrol, tong gas, minyak masak dan tepung gandum," katanya.

Tambahnya lagi, bot pancung itu bertindak menyusup keluar ke Filipina dari Perairan Tanduo, Felda Sahabat.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pos Maritim Felda Sahabat untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi APMM Lahad Datu atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.