Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang berjaya merampas 2,000 karton rokok seludup bernilai RM300,000 dalam satu serbuan di perairan Kuala Rompin, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Maritim Pahang (Operasi), Kapten V Pannir Selvan berkata, cubaan seludup kira-kira pukul 11.30 malam di tepi Pantai Batu 7 Kuala Rompin itu berjaya digagalkan hasil maklumat dan risikan anggotanya.

Sebaik mendapat maklumat, anggota APMM telah ke lokasi menggunakan bot dan hasil tinjauan menemui sebuah bot serta lori yang mencurigakan berada di dalam gelap di tepi Pantai Batu 7.

Namun, menurut Pannir Selvan, kesemua penyeludup yang menaiki bot fiber itu sempat meloloskan diri sebaik sahaja anggotanya memperkenalkan diri.

"Masa dia tengah punggah itu, kita dah sampai, dalam gelap, tak berapa nampak, cuma kita syak tentang bot di situ dan kita pergi ke bot itu.

"Apabila dia dengar kita daripada Maritim Malaysia, dia pun melarikan diri. Yang ini saja dia sempat turunkan di atas darat. Mungkin juga ada yang dah dibawa naik ke lori. Itu kita tak dapat nafikan," katanya.

Beliau bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat APMM di sini, hari ini.

Menurut Pannir Selvan, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menjumpai 2,000 karton rokok berjenama Force 10 dan Double 7 dipercayai diturunkan oleh penyeludup, disyaki rokok tidak bercukai.

Rokok yang cuba diseludup ini dipercayai untuk pasaran di negeri-negeri sekitar pantai timur dan selatan.

Kesemua rokok yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM300,000 termasuk cukai dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kastam 1967.