Maritim Malaysia selamat tujuh nelayan di Pulau Mantanani

Maritim Malaysia selamat tujuh nelayan di Pulau Mantanani
Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz bercakap pada sidang media hari ini, yang turut dihadiri tujuh nelayan yang diselamatkan. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kota Kinabalu pada Khamis berjaya menyelamatkan tujuh daripada sembilan nelayan tempatan yang dilaporkan hanyut selama lima hari.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, nelayan terbabit hanyut selepas bot pancing yang dinaiki karam di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud.

Ketujuh-tujuh lelaki itu, berusia antara 28 dan 52 tahun, ditemui lima batu nautika barat laut di perairan pulau berkenaan kira-kira jam 8.30 malam.

"Kesemua mangsa ditemui bergayut di batang kayu balak dalam keadaan lemah serta kejang sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut," kata Adam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma APMM Kota Kinabalu, Kolombong, hari ini.

Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Saudi Saldi, 28 tahun, Noradin Bihi (33), Tadura Subing (35), Razpauzi Nasi (35), Noradin Majiki (38), Rubi Akpara (50) dan Abdul Si Misil (52).
Manakala dua lagi mangsa yang masih dilaporkan hilang adalah Dimas Tampas, 50-an, serta Moso, 40-an.

Operasi mencari kedua-dua lelaki itu masih giat dijalankan menggunakan aset Kapal Maritim (KM) Berani dengan bantuan pemantauan udara daripada pihak Pasukan Gerakan Udara (PGU).

Adam berkata, pada jam 10.45 pagi 20 Disember lalu, DM15 Kota Kinabalu menerima maklumat dari Kapal Nur Amanah memaklumkan terdapat sebuah bot mengalami kerosakan di posisi lebih kurang 11 batu timur Pulau Mengalum.

"Bot telah mengalami kerosakan selama tiga hari.

"Semalam (Khamis) kira-kira jam 2.20 petang, KM Berani menemui seorang mangsa bernama Nordin Majuki di posisi lebih kurang 5 batu nautika dari Pulau Mantanani Kecil.

"Seterusnya pada jam 8.30 malam, kami menerima maklumat terdapat enam mangsa berada di Pulau Mantanani Kecil dan kami diarahkan untuk mengambil mangsa," katanya.

Mengulas lanjut, Adam berkata, sembilan nelayan itu pada 17 Disember lalu menaiki bot bernombor pendaftaran P4 2054/2/F untuk pergi memancing di perairan Pulau Gaya, menghala ke Pulau Mengalum.

Susulan kerosakan yang dialami bot dinaiki, Dimas dan Moso telah menurunkan sampan kecil tanpa enjin bagi meminta bantuan, sebelum mereka dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

Baki mangsa yang tinggal di bot berkenaan kemudiannya hanyut secara perlahan-lahan selama lima hari sebelum mereka mengambil keputusan untuk berenang ke Pulau Mantanani dengan memakai jaket keselamatan.

"Mereka mengambil masa 10 jam untuk sampai (ke Pulau Mantanani) sebelum mendapat pertolongan orang kampung.

"Seorang mangsa dijumpai oleh KM Berani manakala enam lagi dijumpai pengawal keselamatan di Pulau Mantanani Kecil," katanya.

Sementara itu, Abdul Si yang merupakan tekong bot terbabit ketika ditemui, mengucapkan terima kasih kepada Maritim Malaysia kerana bertungkus lumus menyelamatkan nyawa mereka.