Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini dalam proses menghantar pulang lima pendatang asing tanpa izin (PATI) kepada kedutaan Indonesia yang diselamatkan kru bot Maritim Malaysia, di perairan Hutan Melintang, pada Khamis.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, kru bot Petir 80 milik Maritim Malaysia telah menerima maklumat kehadiran bot tersebut pada jam 9.20 pagi pada Khamis.

"Maklumat mengenai bot itu kemudian disalurkan ke Kapal Maritim (KM) Malawali bagi tindakan pengusiran.

"Namun bot tersebut didapati bocor dan hampir tenggelam akibat kebocoran lalu memaksa anggota Maritim Malaysia menyelamatkan PATI yang berada di atas bot tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, kesemua PATI berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun yang diselamatkan itu telah disaring dan hasil ujian saringan COVID-19 ke atas mereka yang berkenaan adalah negatif.

Dia menambah, siasatan kini sedang dijalankan ke atas semua PATI termasuk punca mereka menyusup masuk secara haram dan mengenal pasti punca kebocoran, sama ada ia sengaja dibocorkan atau sebaliknya.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan.

Orang awam dan komuniti maritim perlu bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang mebabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123.