Maritim tahan 19 PATI cuba menyusup keluar di Tanjung Labian

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Lahad Datu berjaya menghalang cubaan menyusup keluar 19 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dari daerah Lahad Datu semalam.

Pengarah Maritim Pangkalan Lahad Datu Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender Raphael berkata, bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di sekitar perairan Tanjung Labian Felda Sahabat telah bertindak menuju ke kawasan yang disyaki menjadi laluan bagi pendatang tanpa izin.

Semasa membuat tinjauan, APMM berjaya mengesan sebuah bot pancung membawa PATI yang ingin menyusup keluar ke perairan Filipina melalui laluan yang tidak diwartakan.

Pada jam lebih kurang 3 pagi, bot peronda APMM telah menahan bot pancung tersebut.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan terdapat 19 penumpang disyaki warganegara Filipina yang terdiri daripada 6 lelaki dewasa, 5 perempuan dewasa, 2 kanak- kanak lelaki dan 6 kanak- kanak perempuan berumur dalam lingkungan 1 tahun hingga 45 tahun.

"Kesemua yang diperiksa gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," kata Radzil dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, bot pancung tersebut bertindak menyusup keluar ke Filipina dari perairan Lahad Datu.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke jeti Pos Maritim FELDA Sahabat untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua yang diperiksa gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, kata Pengarah Maritim Pangkalan Lahad Datu, Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender Raphael. Foto ihsan APM Lahad Datu
Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu.

Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi APMM Lahad Datu atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.