Sebuah Kem Markas Briged ke-31 Infantri Malaysia akan dibina di Bakun sebagai usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sarawak.

Malah pembinaan itu juga dilihat sebagai usaha kawalan sempadan yang lebih ketat dalam membendung aktiviti penyeludupan.

Menurut Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa, pihaknya juga punya perancangan membina pos-pos baru di sekitar kawasan sempadan dalam menyekat usaha menyelinap masuk dan menyeludup secara berterusan.

“Kita sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa dan penubuhan ini penting dalam menjayakan usaha memerangi PATI dan aktiviti penyeludupan oleh warga Indonesia.

“Ketika ini kita menggerakkan anggota secara rondaan terancang dan melakukan serangan hendap pada waktu malam untuk menggagalkan usaha mereka ini,” katanya.

Dzulkafli berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Ulang Tahun Divisyen Pertama Infantri Malaysia ke-54 di Kem Penrissen, Kota Padawan pada Rabu.

Tambahnya, sejak Ops Benteng dikuatkuasakan di sempadan negeri ini, pihaknya dengan kerjasama daripada agensi-agensi penguatkuasaan juga telah berjaya menghalang penyeludupan PATI.

“Ops Benteng telah menghasilkan kejayaan yang cukup besar untuk kita pada tahun ini sekarang kita telah berjaya menumpaskan sekitar RM2.54 juta hasil rampasan.

“Selain itu, kita juga telah menangkap ramai PATI yang cuba menyeludup masuk ke negeri Sarawak,” tambahnya.