Keadaan bekalan air yang kerap terputus di daerah Beaufort 'menghantui' penduduk di daerah berkenaan sejak bertahun lalu.

Bagi seorang penduduk yang juga merupakan peniaga di Pasar Awam Beaufort, Rahnah Dullah, 42 tahun, dia merungut akan keadaan itu kerana terpaksa berulang-alik sejauh 45km ke daerah Sipitang, semata-mata mahu mendapatkan bekalan air bersih untuk menjalankan aktiviti peniagaannya.

Rahnah yang berniaga kelapa di pasar tersebut menggesa pihak berwajib supaya mengambil tindakan mengatasi permasalahan itu. Dia berkata, rakyat seperti dirinya bukannya tidak bersyukur, tetapi kemudahan asas seperti air perlu diambil kira.

"Saya beli air bersih pakai duit syiling di Sipitang, di sini tiada kemudahan itu. Bertambah susah jika tiada kenderaan ke Sipitang pada ketika itu.

"Memang susah untuk kami basuh baldi ataupun hendak pergi tandas. Kami seharian di pasar, dari enam pagi hingga enam petang, kadang-kadang terpaksa tumpang di restoran atau beli air mineral jika hendak ke tandas. Sudah seminggu kami tiada air," luahnya.

"Bagi kami, daripada dapat bantuan dana atau kewangan, lebih baik kami diberi kemudahan air bersih," tambahnya.

Rahnah ketika ditemui Astro AWANI di Pasar Awam Beaufort. - Astro AWANI
Dalam tinjauan di sekitar pekan Beaufort, Astro AWANI mendapati rata-rata penduduk sudah jemu dengan isu bekalan air di daerah berkenaan yang tidak pernah selesai sejak beberapa tahun lalu.

Bagi pelajar Kolej Komuniti Beaufort , Sofiah Sallehmudin, 19 tahun, dia berkata di kawasan rumah yang disewanya di Taman Wawasan, dekat sini, sering sahaja terputus bekalan air sehingga menyebabkan dia bersama rakan serumah terpaksa mendapat bekalan dengan menadah air hujan untuk mencuci pakaian.

"Di sini, sudah seminggu tiada air. Saya dengar, air sungai pun sudah cetek, jadi kami ambil sahaja air (hujan) yang ada.

"Selain air hujan, kami juga ulang-alik naik motor untuk ambil air daripada mesin layan diri kira-kira lima kilometer dari rumah.

"Saya harap pihak berwajib ambil tindakan secepat mungkin sebab kami sangat perlukan air untuk mandi, masak dan macam-macam lagi," kata Sofiah.

Rakan serumahnya, Nuratirah Rasalleh, 19, yang juga penuntut di Kolej Komuniti Beaufort, menambah rutin mereka kini sukar kerana terpaksa bangun awal untuk mengambil air sebelum ke kuliah.

"Ada empat orang duduk di rumah kami. Jadi bekalan air tidak bertahan lama. Sejak kebelakangan ini, situasi kewangan kami pun terganggu," katanya.